Jom Dengar Muzik!!!!!!!!!!!!

2/15/2011

MAULIDUR RASUL 1432/2011 : Kelahiran Muhammad Bin Abdullah

Artikel dipetik daripada buku Biografi Muhammad Bin Abdullah tulisan Zulkifli Mohd. Yusoff dan Nor Naemah Abd. Rahman

Apabila tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan.

Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib. Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah mengandung, ayah Muhammad meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan lagi.

Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, "Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki." Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera gajah.

Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan, salah satu daripada tanda itu, katanya, semasa Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu tujuh tahun. Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, "Bintang Ahmad muncul di langit." Bintang ini muncul apabila Muhammad dilahirkan. Hasan menyaksikan sendiri peristiwa itu.

Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut sejarah lagi, Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan.

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Mutalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.

Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah terpadam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Farsi itu tertimbus.

Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian pelik ini, dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.

Allah berkata dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud, "Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah." Ada antara pendeta ini yang menyebutkan para kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi.

Kisra bertanya maksud 14 anjung istana kisra yang runtuh. Mereka berkata, "Kerajaan Farsi akan diperintahkan oleh 14 orang kisra lagi selepas itu kerajaan Fasri akan jatuh." Kisra berkata, "14 orang kisra lagi memaparkan tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlu dirisaukan."

Selepas kematian kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang memerintah Farsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu kerajaan Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.

No comments:

Post a Comment

Iqra' Asmaul Husna

Followers