Jom Dengar Muzik!!!!!!!!!!!!

11/09/2010

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Zulhijjah Kau hadir setelah setahun ku tunggu

Zulhijjah merupakan bulan yang terakhir dalam kalendar ummat Islam. Ia juga merupakan salah satu bulan dalam “bulan-bulan haram” selain bulan Zulkaedah, Muharram dan Rejab. Dalam bulan-bulan itu tidak dibenarkan berperang. Disebut di dalam Al-Quran tentang “bulan-bulan haram” ini:
‘Bulan haram dengan bulan haram dan pada sesuatu yang patut dihormati.’
(Surah Al Baqarah ayat 194)

Dalam bulan Zulhijjah wujudnya ‘Aidiladha bertepatan dengan makna Zulhijjah itu sendiri. Para ‘hujjaj’ akan meninggalkan tempat kediaman untuk ke tanah haram yang mulia demi menyahut panggilan Tuhan mereka. Tidak henti-henti para hujjaj menyebut:
‘HambaMu datang menyahut panggilanMu. Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. Hamba-Mu datang menyambut panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu. Hamba-Mu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, dan nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu.’

Pastinya ‘Aidiladha disambut dengan penuh rasa keinsafan dan rasa penyesalan oleh kaum muslimin seluruhnya. ‘Musim’ yang berkat ini sememangnya akan digunakan untuk memperbaharui azam yang telus bagi mendapatkan redhaNya. Disunatkan juga untuk melakukan penyembelihan pada hari yang kesepuluh hinga hari ketiga belas demi mengenangkan keiklasan dan ketaatan dua beranak Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Saidina Ismail a.s. Kesungguhan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan sememangnya adalah suatu yang perlu diteladani dan diwarisi.

Bulan Zulhijjah menjanjikan seribu satu satu ganjaran dan balasan terutamanya sepuluh hari pertama seperti yang disebut dalam Surah Al-Fajr Ayat satu dan dua:
‘Demi waktu fajar, dan malam-malam sepuluh.’

yang membawa maksud sepuluh hari pertama Zulhijjah. Dan sekian kalinya disebut dalam ayat lain yang juga membawa maksud yang sama:

‘Dan sebutlah nama Allah dalam hari-hari ‘ma’lumat’ (sepuluh hari Zulhijjah)’
(Surah Al-Baqarah ayat 203)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sebuah hadith:
Tidaklah pada hari-hari itu, segala amal soleh padanya (hari-hari tersebut) yang lebih disukai di sisi Allah dari hari-hari ini iaitu hari bersepuluh (sepuluh awal Zulhijjah).
Berkata sahabat-sahabat:Walaupun jihad pada jalan Allah?

Bersabda Rasulullah:Walaupun jihad di jalan Allah, kecualilah seorang lelaki keluar dengan diri dan hartanya dan dia tidak akan kembali dari sekalian itu walaupun dengan sesuatu.

Hadis ini menjelaskan bahawa Allah amat memuliakan ‘amal buat yang soleh-soleh terutama pada sepuluh hari tersebut. Dan berkata Anas bin Malik, setiap hari pada hari-hari tersebut adalah seperti seribu hari dan hari Arafah umpama sepuluh ribu.

Ulama’ sedikit sebanyak telah membahaskan hadis ini sacara panjang lebar dan secara amnya tidak ada keterikatan yang khusus dalam melakukan amal soleh pada hari tersebut. Ulama berpendapat bahawa antara amalan yang perlu untuk diperbanyakkan ialah berpuasa.
Dan disebut juga akan kelebihan atau fadhilat berpuasa sehari padanya (sepuluh awal Zulhijjah) bersamaan setahun berpuasa. Setelah berpuasa di siang harinya, malam harus diperbanyakkan dengan qiyam (bersembahyang malam). Ada pendapat mengatakan bahawa setiap malamnya (sepuluh hari itu) adalah seperti Lailatul Qadar.
Disebut juga di dalam hadith sahih yang lain riwayat Imam Muslim:
Dari Abi Qatadah r.a: Ditanyakan kepada Rasulullah mengenai puasa pada hari Arafah (sembilan Zulhijjah). Berkata Rasulullah: Akan diampunkan dosa (kecil) pada tahun yang lepas dan pada tahun yang akan datang.

Arafah adalah hari yang besar bagi umat islam di mana pada hari ini para ‘hujjaj’ akan wukuf di Arafah. ‘Haji itu adalah Arafah’. Adalah sunat yang amat-amat dituntut atas orang yang tidak mengerjakan haji untuk berpuasa.

Antara amalan-amalan lain yang perlu diperbanyakkan ialah tahmid (menyebut Alhamdulillah) dan tahlil (la ilaha ilallah). Disunatkan juga untuk beristighfar meminta keampunan dan berdoa dijauhkan dari api neraka. Amalan bersedekah yang secara lazimnya dilakukan pada hari-hari lain perlulah diteruskan malah digandakan pada hari tersebut.

Kita hanya sekadar berusaha, Dia jua yang membalasnya. Sememangnya adalah harus bagi Tuhan semesta alam untuk memberi apa jua pembalasan sekalipun, atas segala amal buat yang dikerjakan, dan kita punya keyakinan bahawa Dia pasti akan menunaikan janji-janjiNya. Moga dengan keiklasan kita beramal, Tuhan akan maqbulkan.

Iqra' Asmaul Husna

Followers